Thursday, June 30, 2011

[PUISI] Indahnya DIA Mendidik!




Indahnya DIA Mendidik!

Di sini kita belajar bertatih
Adakalanya kita terjatuh
Adakalanya kita terluka
Sampai ketika kita rasa kecewa
Putus asa
Enggan bangkit dan bertatih lagi

Di sini kita belajar bertatih
Adakalanya kita terjatuh
Adakalanya kita terluka
Hadir tangan-tangan yang mengangkat dan memapah
Hadir tangan-tangan yang membalut luka
Hingga akhirnya bibir mampu membuah tawa
Hingga akhirnya kita bangkit semula

Di sini kita belajar bertatih
Adakalanya kita terjatuh
Adakalanya kita terluka
Dan kita mula melihat jalan ini tidak lurus
Dan kita mula melihat jalan ini tidak rata
Ada lopak, ada duri, ada batu, ada halangan

Di sini kita belajar bertatih
Adakalanya kita terjatuh
Adakalanya kita terluka
Akhirnya kita belajar, mengenal dan memahami
Didikan dari Tuhan
DIA yang Maha Baik

Teman,
Jika kau merasa kecewa, pandanglah ke sungai
Airnya mengalir biarpun berjuta batu menghalang
Jika kau merasa sedih, pandanglah ke langit
Kau akan sedar bahawa DIA itu ada
DIA yang mendidik dengan begitu indah
Dalam lenggok seni yang adakalanya tidak kita mengerti
Kerana dia merancang dengan CINTA
Sedang kita merancang dengan CITA

[NaH]
Nida An-Hafiyya
0923
200611
Secrets
Puisi Indahnya DIA Mendidik!

Monday, June 20, 2011

Indahnya DIA Mendidik!


Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Moga kalian yang membaca berada dalam kesejahteraan iman...

Sahabat-sahabat, pernahkah kalian diuji?
Selama mana kita bergelar hamba, semestinya kita tidak pernah dapat lari dari ujian kerana dunia ini sememangnya diciptakan secara fitrah untuk dipenuhi dengan beban, ancaman, rintangan dan berbagai cubaan. Ia sesuai dengan firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud,

"Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar."



Namun sahabat-sahabat, pernahkah kita fikirkan apakah sebenarnya hakikat ujian itu? Hakikatnya, ujian itu adalah satu bentuk 'panggilan' dari Allah s.w.t. agar hamba-hambaNya yang selama ini alpa, kembali DEKAT denganNya. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Luqman ayat 32 yang bermaksud,

"Dan apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat, maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi sangat-sangat tidak mengenang budi."

Allah itu Maha Baik bukan? Tika mana hamba-hambaNya mula tersasar, tergelincir dari jalan yang asal, cepat-cepat Allah kirimkan ujian supaya hamba-Nya segera kembali. Namun kita yang di'buta'kan melihat ujian itu sebagai musibah sehingga adakalanya terlepas kata-kata yang kurang manis dari bibir kita terhadap Allah, na'udzubillah...

Ujian juga adalah satu tarbiyyah atau didikan dari Allah. Lebih mudah lagi ujian itu adalah satu proses 'menempa' seorang individu umpama menempa besi untuk dijadikan sebilah keris. Besi itu perlu dipanaskan dengan suhu yang cukup tinggi, kemudiannya diketuk dan dibentuk untuk menghasilkan sebilah keris. Mana mungkin sebilah keris dapat ditempa tanpa melalui proses-proses tadi? Saya suka kongsikan kata-kata dari seorang kaunselor yang satu ketika dulu pernah menjadi rujukan saya. Katanya, "Pernah tak awak fikir kenapa Allah berikan kesemua ujian ini kepada awak dan bukannya orang lain? Sebenarnya Allah sedang melatih awak, Allah sedang mempersiapkan awak sebab satu hari nanti you'll be somebody."



Baru-baru ini beberapa orang sahabat-sahabat saya diuji dengan gangguan makhlus halus di tempat pengajian mereka. Beberapa kali sahabat-sahabat saya ini di'kejar'kan ke pusat perubatan Islam. Jika kita melihat kejadian ini dari kaca mata yang lebih luas, kejadian yang berlaku itu bukan bala atau musibah tetapi ia adalah satu 'panggilan' atau didikan dari Allah bukan untuk mereka yang diganggu sahaja, tetapi meliputi semua. Kejadian ini memberi ruang dan peluang untuk mereka menambah nilai baik dalam diri, mempertingkatkan amalan fardi, malah menambahkan 'makanan' rohani masing-masing. Mungkin selama ini kita semua memandang enteng kepada aspek 'makanan' rohani sehingga amalan-amalan yang kita lihat sebagai 'kecil' seringkali kita abaikan, bahkan adakalanya kita tinggalkan. Kejadian ini berkemungkinan juga merupakan satu 'morning call' dari Allah supaya kita yang 'faham' erti syahadatul haq, menggerakkan tugas dan tanggungjawab kita sebagai 'SAKSI' kepada rakan-rakan yang lain.

Dunia adalah medan ujian bukannya pentas untuk kita menerima hadiah. Di dunia inilah tempat kita belajar, dididik, untuk kita menerima trofi kemenangan di pentas akhirat. Dunia ini adalah ladang tanam-tanaman, di akhirat sanalah tempat kita menuai.



Ya 'hurrayyah...
Tika kita diuji, sedarlah! Allah sebenarnya punya rencana yang indah di tengah keterbatasan kita. Allah itu merancang dengan CINTA-Nya sedangkan kita sering merancang dengan CITA. Untuk apa kita merasa kecewa, mengeluh, membenci, sedangkan mengeluh dan kecewa tidak akan pernah bisa menyelesaikan masalah kita.

Ayuh! Aku, kau dan kita sama-sama memperbaiki diri...
Semoga aku, kau dan kita terus diberikan kekuatan menghadapi segala bentuk ujian...

"La takhaf wa la tahzan, innallaha ma'ana"

Bila mana diuji, usah takut dan bimbang. Sesungguhnya Allah bersama kita...

Akhirul kalam,
Nida An-Hafiyya


Puisi - Indahnya DIA Mendidik!

Di sini kita belajar bertatih
Adakalanya kita terjatuh
Adakalanya kita terluka
Sampai ketika kita rasa kecewa
Putus asa
Enggan bangkit dan bertatih lagi

Di sini kita belajar bertatih
Adakalanya kita terjatuh
Adakalanya kita terluka
Hadir tangan-tangan yang mengangkat dan memapah
Hadir tangan-tangan yang membalut luka
Hingga akhirnya bibir mampu membuah tawa
Hingga akhirnya kita bangkit semula

Di sini kita belajar bertatih
Adakalanya kita terjatuh
Adakalanya kita terluka
Dan kita mula melihat jalan ini tidak lurus
Dan kita mula melihat jalan ini tidak rata
Ada lopak, ada duri, ada batu, ada halangan

Di sini kita belajar bertatih
Adakalanya kita terjatuh
Adakalanya kita terluka
Akhirnya kita belajar, mengenal dan memahami
Didikan dari Tuhan
DIA yang Maha Baik

Teman,
Jika kau merasa kecewa, pandanglah ke sungai
Airnya mengalir biarpun berjuta batu menghalang
Jika kau merasa sedih, pandanglah ke langit
Kau akan sedar bahawa DIA itu ada
DIA yang mendidik dengan begitu indah
Dalam lenggok seni yang adakalanya tidak kita mengerti
Kerana dia merancang dengan CINTA
Sedang kita merancang dengan CITA

[NaH]
Nida An-Hafiyya
0923
200611
Secrets
Puisi Indahnya DIA Mendidik!



Akan datang : Indahnya Dhuha Itu

Wednesday, June 15, 2011

Dakwah Ini Milik Siapa?


Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum iftitah bicara buat yang sudi membaca...
Dalam entri lalu yang dikongsikan, saya ada menyebut tentang pesan seorang sahabat, 'Hidup ini demi dakwah!'.

Persoalannya, milik siapakah dakwah ini? Sebelum menjawab persoalan ini, ada baiknya andai kita melihat kembali apa yang dimaksudkan dengan dakwah. Dakwah secara mudahnya boleh kita ertikan sebagai mengajak. Mengajak yang bagaimana? Amar ma'ruf nahi munkar. Mengajak berbuat kebaikan dan mengajak menjauhi kemungkaran. Dan seandainya kita lihat lebih dalam lagi, itulah peranan kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini; amar ma'ruf nahi munkar seperti yang disebut oleh Allah dalam surah al-Imran ayat 110 yang bermaksud, "Kamu merupakan umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia. Kamu menyeru kepada maaruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah." Jelas di sini bahawa tugas dakwah itu adalah tugas kita, khalifah Allah.


Mengapa hidup ini perlu disandarkan kepada dakwah? Ianya tidak lain dan tidak bukan kerana memenuhi tuntutan hak syahadah (syahadatul haq) yang telah kita ikrarkan kepada Allah s.w.t. melalui lafaz syahadah yang sering kita perbaharui dalam solat-solat kita. Apa itu SYAHADATUL HAQ? Ia adalah pengakuan bahawa tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah.


'Aku naik SAKSI bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik SAKSI bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah'.
Terdapat perkataan SAKSI dalam lafaz kalimah syahadah yang selalu kita ulang-ulang dalam solat 5 waktu sehari semalam. Namun, tahukah kita tugas seorang SAKSI itu? Tanggungjawab saksi bukan sahaja setakat berpeluk tubuh akan tetapi berani bergerak ke hadapan untuk memberitahu manusia apa yang sebenarnya yang mereka saksikan.

Begitulah juga dengan tanggungjawab kita! “Syahadah Al-Haq” bukan sekadar mengimani kewujudan Allah, malaikatNya, kitabNya, rasulNya dan hari akhirat. Malah tanggungjawab syahadah ini juga tidak cukup setakat mendirikan solat, puasa, zakat dan haji. Syahadah ini hanya akan terlaksana apabila orang-orang yang beriman menyampaikan kalimah hak ke seluruh bangsa manusia dalam bentuk amal soleh, akhlak yang terpuji dan pemerintahan yang adil. Maksudnya di sini adalah kita perlu melaksanakan tanggungjawab untuk menyampaikan kebenaran. Di sini kita dapat melihat adanya tuntutan 'dakwah' terhadap diri kita. Kerana apa? Kerana kita sudah melafazkan syahadah yang merupakan JANJI kita kepada Allah.

Selama ini kita mengaku bahawa kita seorang Muslim kerana kita telah melafazkan syahadah. Namun adakah kita telah menunaikan segala hak syahadah atau dengan kata lain MELAKSANAKAN DAKWAH dan MENJADI DAI'E? Menjadi dai'e itu tidak semestinya kita berceramah di khalayak ramai. Di zaman moden ini terlalu banyak mekanisme atau metodologi atau wasilah yang boleh digunakan sebagai 'alat' dakwah. Dakwah itu boleh disampaikan melalui penulisan di blog, facebook, twitter, Yahoo Messenger, malah dakwah juga boleh disampaikan melalui perbuatan dan tingkah laku yang kita pamerkan.

Dakwah ini milik siapa? Dakwah ini milik kita. Namun andai kita menolak tuntutan dakwah ini, kitalah manusia yang paling rugi. Kerana apa? Kerana kitalah sebenarnya yang memerlukan dakwah. Dakwah tidak memerlukan kita kerana dakwah akan tetap terus berjalan walaupun tanpa kita. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud,

"Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad)satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang membenarkan kebenaran perbuatan kamu."

Ya 'hurrayyah...
Ayuh! Aku, kau dan kita sama-sama bangun dan sedar akan tanggungjawab yang perlu kita laksanakan ini...
Semoga aku, kau dan kita terus diberikan kekuatan di jalan dakwah ini...
Semoga aku, kau dan kita tidak tergolong dikalangan orang-orang yang ingkar... Na'udzubillah min dzalik!

"Agar dunia menjadi saksi, kelak tiada alasan diberi..."

Akhirul kalam,
Nida an-Hafiyya


Akan datang: Indahnya DIA Mendidik!

Monday, June 13, 2011

Kalam Iftitah


Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Buat yang sudi membaca,
Blog ini diwujudkan atas dasar ingin berkongsi dan berpesan-pesan. Pesan-pesan bukan sahaja buat yang sudi membaca, tetapi lebih buat diri yang menulis. Hidup ini demi dakwah! Itu pesan seorang sahabat. Mengapa hidup perlu disandarkan kepada dakwah? Jawapannya cukup mudah. Ianya tidak lain dan tidak bukan kerana memenuhi tuntutan hak syahadah (syahadatul haq) yang telah kita ikrarkan kepada Allah s.w.t. melalui lafaz syahadah yang sering kita perbaharui dalam solat-solat kita. Biar sedikit yang dikongsikan, harapannya ia bisa memberi manfaat buat semua.

Buat yang sudi membaca,
Cukuplah yang menulis ini dikenali sebagai Nida an-Hafiyya, suara yang lembut. Moga perkongsian dan peringatan dapat diberi dalam bentuk yang 'lembut' namun bisa menyentuh hati-hati yang membaca, dengan izin Allah jua. Kubiarkan diri yang menulis ini juga tidak dikenali, agar terhijab diri dari riak dan 'ujub.

Ayuh! Aku, kau dan kita meraih cinta dan mardhatillah melalui redha ibu dan ayah...
Ayuh! Aku, kau dan kita berpimpin tangan menuju ke syurga...
Ayuh! Aku, kau dan kita jadi bidadari di mata yang Mencipta...
Ya 'hurrayyah!

Akhirul kalam,
Nida an-Hafiyya

Akan datang : Dakwah Ini Milik Siapa?