Thursday, July 21, 2011

Cupcakes Messy Kitchen

Assalamualaikum buat yang sudi singgah ke laman ini. Moga anda yang membaca sihat-sihat di bawah payung rahmat Allah. Alhamdulillah, semalam saya berpeluang mempelajari kaedah membuat dan teknik-teknik menghias cupcakes. Alhamdulillah, kelas yang sangat enjoy! Sejujurnya saya tidak begitu meminati cupcakes kerana rasa manisnya yang amat itu. Tapi ianya cukup menarik untuk dipelajari. Semalam sempat la saya menyibuk-nyibuk kacau sana-sini. Insyaallah ada peluang dan kesempatan, saya akan buat juga cupcakes ni. Mungkin untuk my lil' brother during his coming birthday (^_^)v

Insyaallah saya kongsikan resepi dari My Messy Kitchen... Gambar di bawah ialah cupcakes yang dihasilkan oleh My Messy Kitchen. Teruja tengok cupcakes yang comel-comel. Sayang pulak nak makan, kan? ^_^

Cupcakes yang sudah siap dihias


Bahan-bahannya:

6 biji telur
150g gula
Sedikit esen vanilla
2 sudu ovelete
100g marjerin (dicairkan)
150g tepung gandum (diayak)
1 sudu tepung jagung
1/2 sudu baking powder

Cara-cara membuatnya:

1. Masukkan 4 biji telur (kuning + putih) ke dalam bekas besar. Masukkan juga 2 biji telur yang diambil kuningnya sahaja. Kemudian masukkan gula, sedikit esen vanila dan ovelete. Pukul kesemua bahan sehingga adunan menjadi pekat.

2. Setelah adunan menjadi pekat, masukkan tepung gandum yang telah dicampurkan dengan baking powder dan tepung jagung, sedikit demi sedikit. Seterusnya masukkan marjerin yang telah dicairkan.

3. Setelah adunan sebati, masukkan adunan ke dalam 3/4 cup kertas sahaja. Sekiranya anda ingin cupcakes anda berperisa coklat (atau perisa lain), anda boleh tambahkan serbuk koko (200g serbuk koko + dark choc yang dibancuh dengan air panas) atau perisa-perisa yang anda kehendaki.

4. Bakar dengan suhu 120/130 (bergantung kepada saiz oven selama 30 - 40 minit. Setelah siap, hias cupcakes mengikut kreativiti anda. Ada dua teknik menghias cupcakes ; menggunakan aising ataupun fondant. Alhamdulillah, saya dapat belajar kedua-duanya.


Yang lagi best, cfoo My Messy Kitchen tawarkan saya untuk datang belajar buat kek bila-bila masa saya free. Hehehe...pucuk dicita ulam pegaga ^_^ Dan cfoo ada juga bagi idea untuk kek coklat yang saya selalu buat. Letak aiskrim di bahagian tengah! Sound interesting, right? Insyaallah, bakal saya cuba! Okeylah, resepi sudah dikongsi, apa lagi? Cuba, jangan tak cuba!

Friday, July 8, 2011

Kek Gula Hangus Resepi Bunda




Bahan-bahannya:

  • 1 cawan gula
  • 1 cawan air panas
  • 1 cawan tepung gandum
  • 3/4 cawan susu pekat
  • 2 sudu kecil soda bikarbonat
  • 4 biji telur
  • 2 sudu besar mentega

Cara-cara membuatnya:

  • Mula-mula, masak gula dengan api sederhana sehingga hangus. Untuk yang pertama kali atau tak tau macamana nak dapatkan gula hangus, masak gula terus dalam periuk tanpa letakkan air. Kalau anda letakkan air, ia takkan jadi gula hangus, tapi jadi air gula hehe <--- cakap berdasarkan pengalaman. Kacau gula perlahan-lahan menggunakan sudip kayu sehingga gula hangus (berwarna perang).
  • Masukkan air panas sedikit-sedikit dan masak lagi hingga gula cair keseluruhannya.
  • Masukkan mentega. Sejukkan. Ketepikan dulu.
  • Sementara itu, pukul telur hingga betul-betul kembang dan pekat <--- saya terlupa petua @ teknik yang dikongsikan oleh teman serumah saya dulu tentang bagaimana caranya nak memastikan bahawa telur yang kita pukul itu sudah betul-betul kembang
  • Masukkan susu pekat ke dalam telur tadi, dan kacau hingga sebati.
  • Masukkan pula tepung dan soda yang sudah diayak dan sebatikan.
  • Akhir sekali, masukkan air gula yang dah sejuk.
  • Perap adunan selama lebih kurang 3 hingga 4 jam.
  • Bakar dengan api sederhana 160-180 (bergantung pada saiz oven. kalau oven kecil. suhu 120/130 je) selama 1 jam atau hingga masak.


Thursday, July 7, 2011

Sup Ayam Resepi Bunda



Bahan-bahannya:

3 ulas bawang putih
1/2 biji bawang besar
1 inci halia
1 biji kentang (direbus)
2 biji kentang (dipotong dadu)
1/2 batang lobak merah (dipotong dadu)
1 bungkus sup bunjut ADABI
Daging ayam (ikut suka nak ambil bahagian mana)
Garam secukup rasa
Sedikit kunyit
Air
Sedikit minyak untuk menumis
Sedikit bawang goreng
Daun sup (dipotong)

Cara-cara membuatnya:

  • Mula-mula, tumbuk bawang putih, bawang besar, halia dan sedikit garam menggunakan lesung batu. Kat bawah lesung batu tu, jangan lupa alas dengan kain kalau tak nak jiran sebelah-menyebelah tau anda sedang memasak hihi... Kalau rumah anda jenis apartment (dan yang seangkatan dengannya) sangatlah penting untuk lapik lesung batu tu dengan kain. Kalau tidak, orang rumah bawah mesti rasa syiling rumah mereka bagai nak runtuh! (Peace!) Tumbuk sehingga lumat. Masukkan sedikit kunyit untuk menghilangkan bau hamis daging ayam.
  • Kemudian, sila panaskan sedikit minyak untuk menumis bahan-bahan yang ditumbuk tadi. Setelah naik bau, masukkan sedikit air (kalau nak lagi sedap, gunakan air dari lesung batu yang digunakan untuk menumbuk tadi) dan sup bunjut. Kemudian masukkan daging ayam. Biarkan sehingga mendidih.
  • Seterusnya, masukkan kentang dan lobak yang telah dipotong dadu. Sementara itu, lenyek kentang yang telah direbus tadi menggunakan lesung batu. Setelah kentang itu lumat, masukkan ke dalam didihan tadi. Ini petua dari Bunda sebenarnya supaya kuah sup lebih pekat \(^_^)/
  • Biarkan sehingga daging ayam empuk. Sila tambah garam jika kurang. Untuk pengetahuan semua, resepi Bunda tak gunakan serbuk Pak-Aji-Naik-Moto tu ye hehe...
  • Bila daging ayam sudah empuk, bolehlah taburkan bawang goreng dan daun sup ke dalam sup ayam. Sup ayam ni sedap dimakan panas-panas dengan nasi (kuah kena banjir hehe) dan tambah sikit dengan sambal kicap. Insyaallah sedap! Ops, sebelum terlupa. Sebelum memasak tu, jangan lupa baca basmalah. Dan sepanjang memasak tu bacalah selawat banyak-banyak ye. Selamat mencuba!!!

Wednesday, July 6, 2011

[PUISI] Aku Ithar Kamu!



Aku Ithar Kamu!

Satu tika dia pernah berada di lubuk jahiliyyah
Gelap, teraba-raba mencari cahaya
Hingga satu ketika ada tangan menariknya
Keluar dari lubuk itu
Menghirup udara segar
Senyuman mula terukir
Ada sinar bahagia di mata

Namun yang bernama 'hari' itu tak selalu cerah
Gerimis mula turun membasahi
Dia ketakutan
Berlari ke sana-sini mencari perlindungan
Bimbang gerimis kan bertukar menjadi ribut

Dia bertemu sebatang pohon di pinggir jalan
Lantas dia menumpang teduh di situ
Tanpa dia sedar ada dahan dari pohon itu yang bakal menimpanya
Dan mereka yang menyedari sekadar memandang
Tanpa sedikit pun memberi amaran
Apatah lagi menasihatkan
Dan di saat akhir dia tersedar
Lantas dia sekuat hati menjauh
Cuba berlari dan terus berlari
Menjauhi pohon itu

Hari bertukar cerah
Namun pohon itu menjadi igauan
Igauan yang tetap terus mengekori
Tanpa dia sedari

Hujan ujian turun lagi
Namun dia tetap berdiri di dalam hujan
Berdoa dan berdoa kepada yang Mencipta
Igauan pohon datang lagi
Lantas dia tertanya-tanya
Mengapa dulu mereka yang melihat sekadar melihat?
Di mana ithar mereka?
Bukankah aku ini sahabat kalian?
Atas dasar apakah hubungan ini dibina?
Mengapa tega kalian membiarkan diriku ditimpa dahan itu?

Air mata membasahi pipinya
Mengapa yang Mencipta menguji sedemikian rupa?
Sudahlah dari lubuk jahiliyyah
Kesilapan dilaku tidak ditegah
Kemaafan dihulur entah disambut atau tidak
Sufikah mereka?
Tidak pernah melaku dosakah mereka?
Atau dirinya terlalu hina?

Ada suara menyapa
Jangan bimbang!
Andai dirimu tercampak ke jurang neraka sekalipun,
aku akan terjun dan menarik dirimu keluar!
Moga nanti kita dapat berpimpin tangan menuju ke syurga!
Aku ithar kamu, sahabat!
Kerana hubungan ini kujalin atas dasar keimanan!

[NaH]
Nida An-Hafiyya
2159
060711
Secrets
Puisi Aku Ithar Kamu!


Coretan Nida An-Hafiyya

Puisi ini saya hasilkan untuk menyebarkan mesej ITHAR! Menyintai sahabat melebihi diri sendiri. Indahnya hidup andai hubungan persahabatan dibina atas dasar keimanan. Persahabatan kerana Allah itu tidak mengharapkan balasan. Persahabatan kerana Allah itu perlukan pengorbanan. Persahabatan kerana Allah itu banyak dugaan dan cabaran.

Setiap insan tidak pernah lepas dari melakukan kesilapan dan dosa. Tetapi orang yang berdosa itu perlu dibimbing, bukan ditinggalkan atau dibiarkan terus dengan kesilapan dan dosanya tanpa ditegur. Di sinilah peranan seorang sahabat andai benar hubungan yang dibina itu atas dasar keimanan, andai benar persahabatan kita kerana Allah. Maka sebagai sahabat, jika kita lihat ada sahabat kita yang 'terjun' ke dalam neraka, yang perlu kita lakukan ialah menarik tangannya, bukan menghentaknya jatuh semakin dalam. Kita akan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang lebih besar dalam persahabatan iaitu sama-sama berpimpin tangan menembus ke syurga Allah. Lihatlah pada MATAHARI, sinarnya tidak pernah terhenti melainkan kiamat memuncul diri. Kala malam menjelma, bulan mewakili, memancar dan menyuluh cahaya kesedaran. Ayuh, kita hulurkan tangan atas nama PERSAHABATAN! Jadi seperti MATAHARI!

*ithar = menyintai sahabat melebihi diri sendiri

Monday, July 4, 2011

[PUISI] Air Mata Ini




Air Mata Ini

Saat kubuka kelopak mata ini
Ada air jernih merembes keluar
Tak putus-putus
Bersama asakan kuat di dada

Allah...
Pinjamkan aku kekuatan
Hujan ujian tiba lagi
Meruntun aku untuk terus kuat
Meruntun aku untuk tegap berdiri

Air mata merembes lagi
Menitis menuruni pipi
"Jangan menangis, kau bukan lemah!"
Bibir mengukir senyum segaris
Air mata ini bukan tanda lemah
Air mata ini tanda syukur
Air mata ini air mata kekuatan

Syukur...
Saat hujan ujian tiba
Saat diri hampir rebah
Saat diri hampir tersungkur
Ada tangan-tangan yang memaut
Ada tangan-tangan yang memegang kuat
Ada tangan-tangan yang menghapus air mata

Syukur...
Hujan ujian ini membuktikan ukhwah kita
Ukhwah yang sangat indah dan manis
Demi Allah! Aku sayangkan kalian
Melebihi sayangku pada diri ini

Allah, terima kasih atas ujian ini
Terima kasih atas sahabat ini
Terima kasih atas ukhuwah ini

[NaH]
Nida An-Hafiyya
2049
040711
Secrets
Puisi Air Mata Ini!