Wednesday, July 6, 2011

[PUISI] Aku Ithar Kamu!



Aku Ithar Kamu!

Satu tika dia pernah berada di lubuk jahiliyyah
Gelap, teraba-raba mencari cahaya
Hingga satu ketika ada tangan menariknya
Keluar dari lubuk itu
Menghirup udara segar
Senyuman mula terukir
Ada sinar bahagia di mata

Namun yang bernama 'hari' itu tak selalu cerah
Gerimis mula turun membasahi
Dia ketakutan
Berlari ke sana-sini mencari perlindungan
Bimbang gerimis kan bertukar menjadi ribut

Dia bertemu sebatang pohon di pinggir jalan
Lantas dia menumpang teduh di situ
Tanpa dia sedar ada dahan dari pohon itu yang bakal menimpanya
Dan mereka yang menyedari sekadar memandang
Tanpa sedikit pun memberi amaran
Apatah lagi menasihatkan
Dan di saat akhir dia tersedar
Lantas dia sekuat hati menjauh
Cuba berlari dan terus berlari
Menjauhi pohon itu

Hari bertukar cerah
Namun pohon itu menjadi igauan
Igauan yang tetap terus mengekori
Tanpa dia sedari

Hujan ujian turun lagi
Namun dia tetap berdiri di dalam hujan
Berdoa dan berdoa kepada yang Mencipta
Igauan pohon datang lagi
Lantas dia tertanya-tanya
Mengapa dulu mereka yang melihat sekadar melihat?
Di mana ithar mereka?
Bukankah aku ini sahabat kalian?
Atas dasar apakah hubungan ini dibina?
Mengapa tega kalian membiarkan diriku ditimpa dahan itu?

Air mata membasahi pipinya
Mengapa yang Mencipta menguji sedemikian rupa?
Sudahlah dari lubuk jahiliyyah
Kesilapan dilaku tidak ditegah
Kemaafan dihulur entah disambut atau tidak
Sufikah mereka?
Tidak pernah melaku dosakah mereka?
Atau dirinya terlalu hina?

Ada suara menyapa
Jangan bimbang!
Andai dirimu tercampak ke jurang neraka sekalipun,
aku akan terjun dan menarik dirimu keluar!
Moga nanti kita dapat berpimpin tangan menuju ke syurga!
Aku ithar kamu, sahabat!
Kerana hubungan ini kujalin atas dasar keimanan!

[NaH]
Nida An-Hafiyya
2159
060711
Secrets
Puisi Aku Ithar Kamu!


Coretan Nida An-Hafiyya

Puisi ini saya hasilkan untuk menyebarkan mesej ITHAR! Menyintai sahabat melebihi diri sendiri. Indahnya hidup andai hubungan persahabatan dibina atas dasar keimanan. Persahabatan kerana Allah itu tidak mengharapkan balasan. Persahabatan kerana Allah itu perlukan pengorbanan. Persahabatan kerana Allah itu banyak dugaan dan cabaran.

Setiap insan tidak pernah lepas dari melakukan kesilapan dan dosa. Tetapi orang yang berdosa itu perlu dibimbing, bukan ditinggalkan atau dibiarkan terus dengan kesilapan dan dosanya tanpa ditegur. Di sinilah peranan seorang sahabat andai benar hubungan yang dibina itu atas dasar keimanan, andai benar persahabatan kita kerana Allah. Maka sebagai sahabat, jika kita lihat ada sahabat kita yang 'terjun' ke dalam neraka, yang perlu kita lakukan ialah menarik tangannya, bukan menghentaknya jatuh semakin dalam. Kita akan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat yang lebih besar dalam persahabatan iaitu sama-sama berpimpin tangan menembus ke syurga Allah. Lihatlah pada MATAHARI, sinarnya tidak pernah terhenti melainkan kiamat memuncul diri. Kala malam menjelma, bulan mewakili, memancar dan menyuluh cahaya kesedaran. Ayuh, kita hulurkan tangan atas nama PERSAHABATAN! Jadi seperti MATAHARI!

*ithar = menyintai sahabat melebihi diri sendiri

1 comment:

  1. insyaALLAH..semoga diriku mampu menjadi ITHAR sahabatku~ atas dasar iman persahabatan terjalin..kerana ALLAH..demi REDHANYA..insyaALLAH..jazakillahukhair ukhti~

    ReplyDelete